Troll atau trolling ada di semua platfrom yang digunakan oleh orang ramai untuk berinteraksi. Ini termasuklah laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan Reddit yang menyediakan ruang komen atau balas.
Troll biasanya membuka akaun palsu menggunakan profil mangsa mereka untuk dijadikan bahan sindiran dan jenaka.
Kebanyakan mangsa merupakan golongan ternama terutama ahli politik dan pemimpin kerajaan.
Mereka juga menggunakan nama samaran dan profil palsu (pseudonym)untuk melakukan serangan peribadi ke atas individu lain.
Ketika anda meletakkan komen di blog, forum atau platform media sosial, akan ada pengguna lain yang memberi pandangan termasuk ada yang bersetuju dengan anda, memuji anda dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju.
Perbualan itu mungkin agak panas tetapi masih lagi beradab dan secara ilmiah. Tiba-tiba muncul seorang menggunakan nama samaran, menyerang dengan kata-kata kesat, sensitif dan memutar belit kenyataan anda.
Kebiasaannya, kata-kata pedas itu mendapat reaksi daripada pengguna sehingga berlaku perdebatan tidak berfaedah yang tidak ada kena-mengena dengan topik. Akhirnya, troll berjaya 'merampas' perhatian dan topik daripada anda.
Troll bukan sekadar orang yang mempunyai pandangan berbeza dengan anda tetapi mereka mengeluarkan komen dengan tujuan untuk menyakiti hati anda.
Mereka bukan hanya terdiri daripada golongan remaja yang tertekan, malah ramai juga dalam kalangan dewasa yang bekerja dan berkeluarga.
Mereka melontarkan pelbagai tuduhan dan melakukan provokasi melampau yang menaikkan kemarahan anda.
Meskipun anda telah menjawab pelbagai soalan yang dilontarkan, mereka terus menyerang anda secara peribadi. Anda perlu faham, bahawa troll menyerang anda sebagai individu dan bukannya posting anda.
Bagi anda yang tidak biasa dengan istilah troll, ia adalah slanga Internet yang merujuk kepada individu yang sengaja memulakan perbalahan di Internet dengan meninggalkan komen menghasut atau memulakan pergaduhan dalam talian.
Mereka mempunyai niat untuk membangkitkan kemarahan dan emosi pengunjung laman web atau laman rangkaian sosial. Mereka suka melihat sesuatu perkara dari sudut yang negatif.
Dalam cerita rakyat di negara-negara Skandinavia, troll ialah makhluk hodoh, kotor dan bengis yang tinggal di kawasan gelap seperti gua dan di bawah jambatan, menanti untuk menangkap apa sahaja yang lalu di situ untuk dimakan. Sama seperti makhluk mitos itu, troll Internet berselindung di sebalik skrin komputer serta identiti palsu, dan sering marah tanpa sebab.

Kenapa orang lakukan troll?
Setiap orang yang melakukan troll di Internet mempunyai sebab berbeza yang mendorong mereka melakukan perbuatan tersebut. Mereka mungkin psikopat, sadis, narsisisme, antisosial, tertekan, pemarah dan sedih, namun apa yang pasti troll merupakan orang yang gilakan perhatian kerana mereka tidak popular dalam dunia sebenar.
Troll menjadikan ramai orang pengecut berasa berani. Sebab itu, mereka biasanya menyerang orang yang berkuasa atau popular terutama ahli politik, supaya mereka rasa lebih hebat.
Mereka berasa seronok jika berjaya membuatkan anda marah dan selepas itu, mereka akan meninggalkan perbualan itu dan meneruskan aktiviti di dunia nyata.
Sesiapa sahaja boleh melakukan troll kerana identiti sebenar pelaku tidak boleh dikesan secara langsung. Oleh sebab mereka berselindung di sebalik nama dan profil samaran, mereka tidak akan mematuhi dan kisah dengan peraturan di media sosial atau forum.
Mereka akan melakukan troll dengan melompat dari satu platform ke platform yang lain dan dari satu topik ke topik yang lain.
Sekiranya akaun dan alamat protokol mereka disekat, mereka akan kembali membuka akaun baharu dan menggunakan peranti lain.
Jadi, apakah kaedah terbaik menangani troll? Sekiranya troll melakukan provokasi terhadap anda, abaikan sahaja mereka.
Tidak ada faedah anda melayan dan mendapat stres kerana mereka. Jika anda memberikan respon secara beremosi, ia hanya akan membuatkan mereka lebih seronok dan akhirnya anda yang akan mendapat tekanan emosi dan malu kerana menjadi mangsa troll.
Kebiasaannya, troll akan beralih ke tempat lain sekiranya komen mereka tidak mendapat sambutan.
Sebab itu ramai pakar Internet mengatakan: “Jangan suap troll. Tanpa makanan, mereka akan pergi ke tempat lain untuk memuntahkan bisa mereka.”
Andai kata anda secara tidak sengaja terjebak dalam perbualan dengan troll, cuba kenakan mereka balik dengan memutar-belit komen mereka tetapi balas secara berhemah dan lembut.
Anda juga boleh bertanyakan soalan kepada troll tentang sesuatu topik. Mereka biasanya tidak akan menjawab soalan kerana mereka cetek ilmu pengetahuan, selain tidak mahu kena troll dengan anda.
Bagi mereka yang melakukan troll kepada orang lain, anda sepatutnya memikirkan apa perasaan anda jika orang lain melakukan perkara yang sama kepada anda.
Mungkin pada anda ia sesuatu yang kelakar, tetapi ia memberikan kesan kepada orang yang menjadi mangsa.
Harus diingat, apabila anda memuat naik komen bersifat jelik yang menyakiti individu lain, anda boleh didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.